memorandum (petisyen) berkenaan dengan kebebasan media

2008 Memorandum Berkenaan Dengan Kebebasan Media
Dilancarkan pada 3hb Mei, 2008
Ditaja oleh:
Benar for Free and Fair Media (Benar)
Centre for Independent Journalism (CIJ)
Writers Alliance for Media Independence (WAMI)

Akan diserahkan kepada pemimpin-pemimpin nasional pada 31hb Ogos,2008 dan pemimpin-pemimpin negeri pada 16hb September,2008.

Patutkah anda diberitahu tentang KEBENARAN supaya anda dapat membuat keputusan berasaskan maklumat yang betul?

Ini, nampaknya, tidak mungkin berlaku memandangkan hak anda untuk mengetahui kebenaran kini disekat 30 undang-undang yang membawa akibat yang serius. Di antaranya ialah :-

*    Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) yang memberi Menteri Dalam Negeri kuasa mutlak untuk memutuskan siapa yang boleh mendapat permit penerbitan, bila untuk membatalkan atau menangguhkan permit itu, dan buku-buku mana yang harus diharamkan. Oleh itu beberapa akhbar utama terpaksalah menurut perintah dan mengamalkan penapisan diri.

*    Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang merampas hak seseorang untuk mengetahui segala yang diperlakukan di pejabat-pejabat kerajaan, contohnya perkara-perkara seperti bagaimana duit cukai dibelanjakan dan sama ada kontrak-kontrak kerajaan diberi melalui tender yang sepatutnya.

*    Akta Hasutan  yang membenarkan kerajaan menutup mulut para pengkritik dengan alasan-alasan bahawa mereka itu sengaja menimbulkan rasa benci terhadap kerajaan dan mengancam harmoni social.

*    Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)  yang membenarkan kerajaan menahan sesiapa sahaja tanpa perbicaraan untuk tempoh masa yang tidak dapat dipastikan dengan bertopengkan perlindungan keselamatan nasional.

*    Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA)  yang membenarkan penumpuan siaran media dikuasai oleh golongan-golongan yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak-pihak yang berkuasa.

Oleh yang demikian kita haruslah menuntut perubahan melalui reformasi undang-undang media dengan :-

*  mengadakan Jawatan Kuasa Parlimen yang terpilih untuk mengkaji semula semua undang-undang yang berkaitan dengan media serta memansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan bercakap, kemudahan mendapat maklumat dan penguatkuasaan;

*  menangguhkan penguatkuasaan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak  (PPPA) sebelum pemangsuhannya;

* menggubal undang-undang Akta Hak Kebebasan Maklumat  (FOI) di peringkat persekutuan dan negeri;

       * Seorang ahli Parlimen dari pihak pembangkang teleh menyerahkan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen Biasa (“a private Member’s Bill”) dan beberapa kerajaan negeri sedang mengkaji penggubalan undang-undang FOI di negeri-negeri tersebut. Sejauh ini Kerajaan Persekutuan tidak mengendahkan panggilan untuk menggubal FOI, dan ada kemungkinan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen Biasa  tidak akan dikemukakan kecuali menghadapi tekanan dari rakyat.

Anda boleh menukar situasi yang menyedihkan ini. Apa yang perlu ialah semangat politik yang kuat untuk menuntut perubahan. Pastikan suara anda didengar. Kebenaran tidak sepatutnya dirahsiakan.

—————————————————————————————————————–
yang berikut adalah memorandum yang akan diserahkan. yang atas adalah hanya ‘cover note’ yang menerangkan kenapa kami harus menyokong memorandum ini.

2008 Memorandum Berkenaan Dengan Kebebasan Media
Dilancarkan pada 3hb Mei, 2008
Ditaja oleh:
Benar for Free and Fair Media (Benar)
Centre for Independent Journalism (CIJ)
Writers Alliance for Media Independence (WAMI)

Akan diserahkan kepada pemimpin-pemimpin nasional pada 31hb Ogos,2008 dan pemimpin-pemimpin negeri pada 16hb September,2008

Kebebasan Bercakap, “Access” Kepada Maklumat, Penguatkuasaan

Tuntutan-Tuntutan Rakyat Malaysia Untuk Hari Kebebasan Media Dunia 2008

Dua tahun dahulu, dalam satu tindakan yang tidak pernah berlaku, 31 buah organisasi-organisasi persatuan sivil dan hampir 100 orang individu telah menandatangani satu penyataan yang menyeru agar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dimansuhkan dan reformasi lain dalam bidang undang-undang dan politik diperkenalkan supaya media di Malaysia dapat beroperasi dengan bebas dan berdikari.

Penyataan tersebut ditandatangani atas sebab rasa kecewa terhadap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang telah memungkiri janjinya untuk memerangi rasuah dan mendukung integriti politik serta kebertanggungjawapan ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 2003.

Panggilan untuk kebebasan media tidak diendahkan langsung tetapi panggilan tersebut menjadi semakin kuat sehingga memuncak dua tahun kemudian dengan keputusan pilihanraya 8hb Mac yang begitu menyedihkan bagi parti Barisan Nasional. Malangnya, peristiwa ini masih tidak menyedari Perdana Menteri Abdullah tentang hasrat negara untuk menuntut kebebasan media.

Sebenarnya, beliau telah menjanjikan reformasi di badan kehakiman dan Agensi Pencegah Rasuah (ACA) tetapi tidak ambil peduli tentang reformasi undang-undang media. Yang lebih mengecewakan ialah sikap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang baru-baru ini telah menolak permohonan membaharui permit penerbitan oleh akhbar harian Tamil "Makkal Osai". Akhirnya, seminggu kemudian, rayuan akhbar tersebut diluluskan. Walau bagaimanapun, Kementerian tersebut masih tidak meluluskan permohonan membaharui permit akhbar harian Cina  "Oriental Daily".

Berasaskan maklumat di atas, tidaklah menghairankan bahawa Malaysia menduduki tempat yang ke 141 di antara 195 buah Negara di dunia (hasil kajian "2008 Global Press Freedom Rankings" yang disiarkan oleh “Freedom House” pada 29hb April).  Tidaklah kerajaan kita berasa malu kerana negara kita ditempatkan di antara 30% yang paling bawah di dunia berkaitan dengan hal kebebasan media ?

Nilai-nilai teras kita.

Malaysia lepas 8hb Mac menganggap serius hasratnya untuk menilai semula proses
pendemokrasian yang patut menegakkan nilai-nilai teras yang melibatkan, antara yang lain, hal-hal seperti kebebasan bercakap, "access" kepada maklumat , dan penguatkuasaan.

Pertama sekali kita harus memastikan bahawa ada kebebasan bercakap. Sebagai pemilik negara dan bos kepada kerajaan, semua rakyat Malaysia harus diberi kebebasan untuk menyatakan pendapat dan bertukar-tukar pandangan. Untuk tujuan ini, kerajaan tidak boleh menyekat penggunaan media seperti percetakan, siaran dan internet dengan tekanan undang-undang yang tidak wajar. Pendek kata undang-undang tidak boleh dijadikan alat untuk menyekat hak kebebasan bercakap rakyat tetapi sebaliknya sebagai alat untuk mempertahankan hak tersebut.

Kedua, pastikan setiap rakyat yang ingin mengetahui hal ehwal negara boleh mendapat maklumat yang lengkap. Demokrasi tidak bererti tanpa pilihan yang berpandukan maklumat. Di sini perlu ditegaskan sekali lagi tentang kepentingan media yang bebas serta "access" kepada maklumat sector awam.

Akhir sekali, sebagai rakyat, mereka harus diberi kuasa supaya sanggup melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan yang mendatangkan kesan perubahan kepada kehidupan awam. Suara golongan yang tersingkir serta yang lemah harus didengari umum. Berkenaan dengan hal tersebut, peranan pelbagai jenis media sebagai perlindungan daripada segala kemungkinan serta kebebasan bercakap dianggap penting.

Berpandukan nilai-nilai tersebut, demokrasi memang tidak ada tempat untuk Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) yang biasa digunakan secara sembarangan dan kejam, bukan sahaja untuk memastikan media tidak melampaui batas tetapi juga untuk menghalang rakyat biasa dari menggunakan hak mereka untuk mendapat maklumat. Akta Rahsia Rasmi (OSA) perlu diganti dengan Akta Kebebasan Mendapat Maklumat dan undang-undang lain yang keras lagi kejam yang menyekat hak asasi manusia seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Universiti, Akta Universiti Maktab dan Akta Polis bercanggah dengan idea Demokrasi yang bersifat liberal.

Tuntutan Kita.

Sebagai rakyat, kita menyeru supaya parti campuran Barisan Nasional (menguasai 63% Parlimen Persekutuan dan memerintah 8 buah negeri) dan parti Pakatan Rakyat (menguasai 37% Parlimen Persekutuan dan memerintah 5 buah negeri) bersama-sama menanggung komitmen dan membuktikan semangat politik yang kuat untuk memasukkan reformasi terhadap kebebasan media dalam agenda tadbir dan perundangan mereka.

Pada Hari Kebebasan Media Dunia 2008 ini, kami, organisasi-organisasi persatuan sivil dan setiap rakyat yang bertandatangan di bawah, menanggung komitmen mempromosikan reformasi sosial dan mempertahankan kebebasan bercakap, menyatakan 3 tuntutan :-

1)  Jawatankuasa Parlimen Terpilih Berkenaan Dengan Kebebasan Undang-Undang Media.

Kita memuji lapan orang Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat atas usaha mereka membentuk satu kokus berkaitan dengan Kebebasan Bercakap dan Kebebasan Mendapat Maklumat, dan kita mendorong Kerajaan Barisan Nasional supaya mewujudkan satu Jawatankuasa Parlimen Terpilih untuk mengkaji keadaan kebebasan mendapat maklumat dan bercakap di Malaysia, serta mengenal pasti reformasi-reformasi yang perlu dalam semua undang-undang yang ada kaitan dengan media. Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan harus dibatalkan, sedangkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) perlu disemak untuk menjamin (a) tiada ancaman-ancaman peribadi dan institusi terhadap kebebasan penulis-penulis, wartawan-wartawan dan penerbit-penerbit; (b) tiada gangguan tanpa alasan yang kuat terhadap industri media sehingga industri tersebut di bawah kawalan politik; (c) tiada pemilikan media yang keterlaluan sama ada di dalam atau di bidang-bidang lain.

Jawatankuasa yang sebegitu rupa adalah penting kerana melaluinya segala usaha reformasi media dapat dijalankan dengan berkesan dan teratur, memandangkan industri media dikuasai oleh 3 Kementerian yang berlainan iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Tenaga, Air, Komunikasi dan Maklumat. Lebih penting lagi, Jawatankuasa tersebut boleh menggalakkan orang ramai untuk mengemukakan idea-idea atau pendapat-pendapat dan ini menggambarkan aspirasi semua rakyat Malaysia dan bukan sahaja ahli-ahli politik.

2) Pemansuhan Dan Penangguhan "PPPA".

Kita meminta Parlimen memansuhkan "PPPA" supaya media boleh berfungsi dengan bebas sementara kerajaan berusaha meminda mekanisme yang menentukan pelesenan media misalnya:

(i) semua saluran media hanya perlu mendaftar dengan Kementerian tanpa lessen cetak atau permit penerbitan tahunan; dan

(ii) pengembalian proses kajian semula kehakiman. Walaupun Barisan Nasional bertanggungjawab atas perkara tersebut akan tetapi Pakatan Rakyat juga turut terlibat. Berkenaan dengan undang-undang, Barisan Nasional harus menubuhkan satu Jawatankuasa Parlimen yang terpilih untuk mengkaji reformasi undang-undang media secara  menyeluruh. Sekiranya rancangan tersebut ditolak, Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sendiri mungkin membentangkan satu rang undang-undang untuk memansuhkan "PPPA" , dan menggantikannya dengan undang-undang penerbitan yang liberal. Dalam hal penguatkuasaan, Barisan Nasional harus menangguhkan "PPPA" ,sebelum pemansuhannya , dengan meluluskan setiap permohonan untuk lessen mesin cetak dan permit percetakan dan mengawal diri daripada menyalahkan gunakan kuasa untuk menyekat hasil penerbitan. Jikalau Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri membatalkan atau menangguhkan permit penerbitan seseorang penerbit atau menolak permohonannya, kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan sedia bertindak mengikut Seksion 2dan 25(1) "PPPA". Penerbit tersebut akan diberi kebenaran untuk melaksanakan kerja menerbit bagi negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, bebas dari syarat-syarat permit penerbitan. Kes tersebut mungkin dihadapkan ke mahkamah oleh Kerajaan Persekutuan tetapi ini akan memberi peluang untuk memperbahaskan  soal kawalan media dan memajukan perjuangan reformasi undang-undang media.

3)  Penggubalan Undang-Undang Kebebasan Mendapat Maklumat.

Kita menyeru Parlimen supaya menggubal Akta Kebebasan Mendapat Maklumat di peringkat persekutuan. Dengan ini,  Akta Rahsia-Rahsia Rasmi boleh dimansuhkan untuk memastikan bahawa maklumat yang menarik minat orang ramai boleh didapati sebanyak mungkin.Di peringkat negeri pula, kerajaan-kerajaan negeri Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat harus menggubal Akta Kebebasan Mendapat Maklumat yang tersendiri untuk menjamin bahawa maklumat maksimum di bawah bidang kuasa negeri masing-masing didedahkan kepada umum sebagai pelengkap kepada Akta Kebebasan Mendapat Maklumat peringkat persekutuan jika Akta itu wujud, kalau tidak masih relevan kepada isu tersebut. Pendek kata, usaha kita untuk membasmi amalan rasuah dan menikmati pemerintahan yang baik hanya akan berjaya jika kita diberi jaminan sah berkenaan kebebasan mendapat maklumat.

Diharap bahawa anda boleh membantu dalam kempen ini.

Kita berjuang untuk tujuan yang patut disanjung bukan sahaja demi diri sendiri tetapi juga demi anak-anak, saudara-mara dan jenerasi akan dating. Baik, sekarang klikkan rangkaian ini dan hantarkan kepada sahabat-sahabat serta saudara-mara anda untuk mempromosikan isu tersebut.

Penyokong-penyokong organisasi-organisasi boleh mengisikan Borang ‘Endorsement’ kemudian fax atau pos kepada alamat yang tertulis dalam Borang.

—————————————————————————————————————–
sila lawati http://benar.org  untuk menandatangani memo ini. amat gembira jikalau anda boleh sebarkan mengenai memo ini kepada keluarga dan rakan-rakan. terima kasih.

Leave a Reply